Awang Hujan calon tunggal Ketua Kampung Amo





Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Temburong





 

TEMBURONG, Ahad, 28 April. - Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Amo, Mukim Amo diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Sekolah Rendah Amo, Daerah Temburong.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Pemangku Bilal Balai Ibadah Kampung Semabat, Awang Haji Mokhsin bin Haji Karim.

 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pengiraan dan pengumuman undi.

 

Sebelum majlis dimulakan, terlebih dahulu diadakan pengundian secara kaedah kertas undi bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula pada Jumaat, 26 April 2024.

 

Calon tunggal yang layak bagi mengisikan kekosongan jawatan Ketua Kampung Amo ialah Awang Hujan anak Muit, 58 tahun dan merupakan Pemangku Ketua Kampung Amo.

 

Beliau menetap di Rumah Panjang Amo 'B' dan merupakan Pengerusi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Amo bermula 1 November 2008 dan Pengerusi Pengawasan Kejiranan Kampung.

 

Sepanjang menjawat Pemangku Ketua Kampung Amo, MPK Amo dapat mengusahakan produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P), iaitu produk kraf tangan anyaman dan kuih jala.

 

Daripada 174 orang yang berdaftar dan layak mengundi, seramai 147 telah mengundi bagi calon jawatan Ketua Kampung Amo.

 

Daripada jumlah berkenaan, seramai 145 orang bersetuju, manakala seorang tidak bersetuju dan satu undi rosak.

 

Hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Muhammad Usamah bin Haji Sarbini.

 

Turut hadir ialah pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Pemangku Penghulu Zon 2, Ketua-ketua Kampung dan Pemangku Ketua Kampung di bawah tadahan Mukim Amo.

 

Keputusan Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung akan dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN bagi proses selanjutnya.

Close